KUANTAN 13 Ogos - Seramai 250 pegawai dan anggota polis termasuk ahli keluarga dari Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini mengadakan majlis berbuka puasa di Kompleks Polis dekat Alor Akar di sini, kelmarin. Program tahunan anjuran kedua-dua jabatan itu diadakan bertujuan beramah mesra di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota bawahan dan pegawai atasan. Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani (foto) berkata, program sedemikian menjadi program tahunan sejak beberapa tahun dahulu khususnya di bulan Ramadan. "Selain berbuka puasa bersama dan beramah mesra, kami juga menunaikan solat terawih berjemaah bersama-sama," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
[Turut hadir di majlis itu, timbalan beliau, Datuk Fatimah Ghazali; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Yap Thoon Kuan. Selain itu juga dilihat hadir turut hadir majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang, Supritendan Mohd. Haris Daud dan juga Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri iaitu Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri].