TEMERLOH, 11 Ogos - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (foto) mengingatkan rakyat (umat Islam) agar memelihara kemakmuran dan kestabilan politik kerana ia menjadi kunci kepada kenikmatan beribadat. Titah baginda, keamanan dan kestabilan politik membolehkan umat Islam menjalani ibadat dengan sempurna. ‘‘Kenikmatan beribadat adalah kerana disebabkan oleh iklim ekonomi, sosial dan politik yang baik,” titah baginda pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 282 orang tidak bernasib baik di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau di sini, kelmarin. Tengku Abdullah bertitah, unsur-unsur yang menggugat kestabilan boleh membantutkan kemajuan negara. ‘‘Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memelihara anugerah Allah itu tanpa cuba menggugat kemakmuran dan kestabilan politik yang tiada di negara lain,‘‘ titah baginda. Tengku Mahkota turut menasihati rakyat supaya memberi sokongan kepada wakil rakyat yang membuktikan kesungguhan mereka untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Dalam pada itu, Baginda bertitah, Istana Pahang akan meneruskan tradisi program berbuka puasa bersama rakyat di seluruh negeri bagi menyelami kehidupan masyarakat di akar umbi. Titah baginda, program sedemikian dirancang untuk kesemua daerah sempena bulan Ramadan yang memberi peluang kepadanya sekeluarga bertemu pelbagai lapisan rakyat. ‘‘Kehadiran rakyat bersama berbuka puasa, solat berjemaah dan tarawih membuktikan hubungan baik itu perlu dikekalkan demi kesinambungan bangsa,” titah Baginda]. sumber
[Titah Tengku Mahkota Pahang ini wajar dihayati seluruh rakyat terutamanya umat Islam. Tambahan pula disaat kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Kestabilan politik amatlah perlu dalam usaha mewujudkan sebuah negara dan negeri yang lebih harmoni serta sejahtera. Rakyat Pahang juga bertuah kerana memiliki "anak raja" yang memahami situasi politik semasa hari ini. Malah, kesediaan pihak istana untuk turun padang bersama rakyat juga membuktikan institusi raja prihatin terhadap kebajikan rakyat jelata. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku]





