KUANTAN 15 Ogos - Sebagai usaha membantu penduduk Islam di Palestin, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) Pahang mengambil inisiatif membawa 10 rakyat negara itu ke negeri ini sempena Ramadan ini. Naib Setiausaha HALUAN Pahang, Abdul Bashir Abdul Ghani (foto) berkata, 10 rakyat Palestin itu dibawa masuk bertujuan memberi tazkirah pada solat tarawih di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri ini. Beliau berkata, antara rakyat Palestin yang ditugaskan memberikan tazkirah ialah seorang penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir, Ali Al-khotibi Abdul Hakim, 19. "Penuntut jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab itu ditugaskan untuk memberikan tazkirah kepada jemaah masjid pada solat tarawih. "Jemaah juga berpeluang untuk beribadat sambil menderma dalam tabung khas yang disediakan bagi membantu rakyat Islam Palestin," katanya. Beliau berkata, wang itu akan disalurkan kepada Ikatan Ulama Palestin, anak yatim, orang miskin dan pesakit kronik. ''Sumbangan dana itu diharap dapat membebaskan rakyat Palestin daripada cengkaman keganasan Israel," tegasnya. Mereka yang ingin memberikan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Tabung Palestin Haluan di Maybank menerusi nombor akaun 5644-9020-8528 atau akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di 14-023- 01-003429-2.
[NGO Haluan adalah antara pertubuhan bukan kerajaan yang cukup aktif dalam memperjuangkan isu-isu rakyat Palestin. Malah, mereka juga turut menghantar wakil ketika misi bantuan ke Gaza yang disekat oleh tentera Israel dulu. Difahamkan Haluan kini begitu aktif dalam menyebarkan maklumat dan info berguna tentang perjuangan dan nasib rakyat Palestin. Penderitaan dan keperitan hidup umat Islam di negara itu dipaparkan dalam bentuk video dan sebagainya agar orang ramai terpanggil untuk menghulurkan sumbangan derma bagi meringankan beban mereka. Justeru, atas keberkatan bulan Ramadan ini umat Islam diseru menghulurkan derma bagi membantu mereka yang kini terus ditindas oleh tentera Zionis itu. Moga Allah jua dapat membalasa segala kebaikan itu].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan