KUANTAN - Agrobank Pahang menyerahkan lebihan zakat perniagaan tahun lalu berjumlah RM32,000 kepada 149 mangsa banjir di sekitar Kampung Pandan di sini.
Wang zakat perniagaan itu diserahkan sendiri oleh Pengurus Wilayah Pahang Agrobank, Zulkifli Mahmood selepas menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid Kampung Pandan 2 di sini.
Menurut Zulkifli, penyerahan zakat perniagaan merupakan kewajipan yang dilaksanakan setiap tahun dan kali ini pihak bank merasakan wajar diserahkan kepada golongan memerlukan seperti mangsa banjir.
"Setiap tahun kita akan melunaskan zakat perniagaan dan setelah berbincang dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) dengan baki yang masih ada kita memutuskan mengagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat dalam kejadian pada awal Disember lalu.
"Sesuai dengan slogan Agrobank iaitu Sentiasa Disisi Anda turut prihatin dalam usaha membantu mangsa banjir," katanya pada Majlis Agihan Zakat Asnaf Kepada Mangsa Banjir, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Mohd. Faitullah Saadon dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pandan 2, Abdul Radzi Ahmad.
Menurut Zulkifli, program tanggungjawab sosial korporat dengan kerjasama PKZ ini diharap meringankan beban ditanggung masyarakat yang terjejas akibat bencana alam itu.
"Setiap mangsa banjir yang menerima bantuan zakat dipilih berdasarkan nilai kerugian yang dialami dan jumlah tanggungan," jelasnya.
Sementara itu, seorang penerima, Semek Ngah, 62, berkata, bantuan itu akan meringankan bebannya selepas sebahagian kelengkapan rumah musnah akibat banjir. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan