KUANTAN - Penemuan fosil gigi dinosaur oleh kumpulan penyelidik Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM) bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kajian prasejarah di Malaysia tetapi juga mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini.
Menurut Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar dan pelancongan, Hugs Project, Muhamad Laili Basir, jika kawasan penemuan fosil gigi dinosaur itu dijadikan tempat pelancongan baharu, kedatangan pelancong ke negeri ini dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus.
"Malahan pelancong yang datang pula bukan daripada dalam kalangan orang biasa sebaliknya lebih kepada golongan akademik seperti mahasiswa, pensyarah dan ahli-ahli paleontologi.
"Pelancong bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga seluruh dunia. Namun, kita perlu banyak belajar dari Thailand yang telah lama mempromosikan dinosaur sebagai salah satu produk pelancongan mereka," katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga aktivis pelancongan berkata, penduduk di kawasan penemuan fosil itu secara tidak langsung turut mendapat kesan ekonomi apabila pelancong datang ke kawasan mereka.
"Bayangkan jika kumpulan pensyarah dari luar negara datang ke kawasan ini dan membuat kajian. Mungkin dia akan tinggal lama dan akhirnya akan menguntungkan penduduk kampung.
"Kerajaan negeri perlu komited untuk membuat perancangan dengan lebih teliti dalam membangunkan kawasan berkenaan sebagai produk pelancongan di negeri ini," katanya.
Menurut beliau, semua pihak perlu mengambil serius perkara tersebut jika tidak mahu menerima nasib seperti penemuan fosil cengkerang berusia kira-kira 250 juta tahun di Taman Emas, Lipis yang sehingga kini tiada tindakan oleh pihak berwajib.
"Saya takut nanti penemuan fosil dinosaur ini hanya sia-sia, justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan penemuan fosil ini dapat dimajukan sebagai kawasan pelancongan baharu," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Khairul Amin Osman berkata, penemuan fosil menzahirkan negeri ini mempunyai artifak prasejarah dan sumber mineral yang boleh dieksploitasi untuk pembangunan sektor pelancongan, ekonomi dan pendidikan.
"Walaupun artifak berkenaan bukan galian emas atau barangan bernilai, fosil itu amat bernilai dari segi sejarah," katanya.
Menurut beliau, jika kawasan tersebut dijadikan kawasan pelancongan baharu, usaha itu juga secara tidak langsung dapat memberi peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini.
"Belia boleh menceburi pelbagai bidang seperti menjadi pemandu pelancong dan menjual produk-produk pelancongan," katanya. #sumber






Kalau jumpa kat negeri lain mungkin dah dimajukan kawasan tu, tapi kalau kat Pahang, lupakan saja.. Pahang mana minat benda2 keluar duit tarik pelancong macam ni.. bersyukur sebab banyak alam semulajadi ada di pahang mcm tanah tinggi, pantai dan tasik.Contohnya macam Temerloh dah isytihar titik tengah semenanjung, apa kerajaan negeri dah bagi utk majukan kawasan tu. NOTHING! Nak buat pintu gerbang cantik promo titik tengah pun tak mampu..Pahang dari dulu kaya dgn sumber semulajadi, lepas balak kemudian bijih, tapi ke mana perginya semua hasil tu.. Jika di lihat, rasa2nya pahang negeri yang paling perlahan dari segi pembangunan.. renung-renungkan..
BalasPadampahang...........masuk poket tak dulu...rakyat no 100...
BalasPadam