BENTONG - Bagi menghargai jasa anggota polis yang terkorban semasa menjalankan tugas, seramai 12 ahli keluarga mereka di negeri ini dipilih menerima sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab. Ghani berkata, sumbangan keseluruhan bernilai RM52,000 itu bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga kesemua anggota dan pegawai polis berkenaan.
"Kita berharap mana-mana keluarga anggota polis terlibat yang menghadapi masalah selepas ini supaya melaporkan kepada pihak pengurusan ibu pejabat polis daerah bagi mendapatkan bantuan.
"Kita akan berusaha untuk membantu mereka dan jika masalah itu sukar diatasi di peringkat daerah atau negeri, perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian cek sumbangan TAPPN di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor.
Dalam pada itu, salah seorang penerima tabung tersebut, Nor Anisa Azami, 24, berkata, bantuan yang diterimanya itu amat bermakna dalam meringankan beban ibunya yang menggalas tugas sebagai ketua keluarga.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang kehilangan bapa ketika berusia tiga tahun itu berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
"Terima kasih kerana tidak melupakan kami," katanya yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan