KUANTAN - Pengalaman pertama kali menembak menggunakan senjata Colt M16 nyata amat berharga bagi 394 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Lapang Sasar Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini baru-baru ini.
Pelatih dari Kem Cherating dekat sini itu telah menjalani latihan pengendalian senjata di situ selama tiga hari bermula 18 Februari lalu.
Meskipun gementar pada mulanya, namun dengan sesi teori dan langkah keselamatan yang diajar serta pengawasan penyelia ketika latihan dijalankan, peserta mengakui perasaan itu beransur-ansur hilang.
Setiap pelatih diberikan 30 butir peluru untuk menembak sasaran yang disediakan di lapang sasar.
Pelatih PLKN sentiasa diawasi ketat oleh pegawai dan anggota TLDM yang bertanggungjawab mengendali sepenuhnya latihan tersebut.
Para pelatih PLKN yang menembak menggunakan peluru hidup ini menyifatkannya sebagai satu pengalaman baharu yang amat berharga.
Rata-rata pelatih yang ditemui selepas latihan itu melahirkan hasrat untuk melakukannya lagi jika diberi peluang.
Mereka turut memuji tahap keselamatan yang disediakan oleh pengasuh atau jurulatih daripada TLDM.
Azuan Ahmad, 18, dari Temerloh memberitahu, dia amat seronok dengan pengalaman yang dilalui itu walaupun berasa gementar pada peringkat awal.
"Namun, saya rasa selamat dengan prosedur keselamatan yang rapi disediakan oleh jurulatih. Keseronokan mengendalikan senjata menggunakan peluru hidup membuatkan saya berasa lebih patriotik.
"Aktiviti ini menaikkan semangat saya untuk mempertahankan tanah air sekiranya diceroboh. Saya juga berhasrat menyertai pasukan keselamatan apabila tamat PLKN nanti," katanya.
Menurut Lim Zhen Yang, 18, dari Kuantan, ibu bapanya tidak menghalangnya untuk menjalani latihan berkenaan.
"Bukan senang untuk mendapat peluang sedemikian kecuali menyertai pasukan beruniform seperti tentera atau polis.
"Ada kawan-kawan saya yang takut untuk mencuba. Bagaimanapun, selepas melepaskan beberapa das tembakan, saya rasa seronok dan lebih yakin," katanya.
Nik Mazliana Mazli, 18, berkata, latihan itu pengalaman berharga yang sukar diperoleh di tempat lain.
"Sebelum diberi peluang untuk menembak, kami diajar terlebih dahulu dan membuatkan kami lebih berani, malah bersemangat melakukannya," katanya.
Bagi Syarifah Amirah Syed Khairunawa, 18, dari Temerloh, dia memuji tahap keselamatan yang dipraktikkan para pegawai dan anggota tentera.
"Tunjuk ajar tentang pengendalian senjata yang disediakan oleh pengasuh TLDM cukup lengkap dan menyeluruh. Saya mendapati tahap keselamatan tinggi merupakan satu jaminan sepanjang latihan ini," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Persenjataan TLDM Tanjung Gelang, Leftenan Faisalriza Jamaluddin, modul latihan yang melibatkan kem ini telah dilaksanakan sejak Selasa hingga Khamis lalu.
"Sebelum latihan, kesemua pelatih diberikan latihan teori tentang senjata dahulu. Pada hari kedua, barulah sesi menembak dijalankan.
"Aspek keselamatan tidak akan dikompromi sama sekali. Ini penting bagi menjamin keselamatan para pelatih dan tidak meragukan mereka sepanjang latihan ini berlangsung," katanya.
Menurut beliau, terdapat tiga pelatih tidak menyertai modul latihan ini kerana ibu bapa mereka tidak membenarkan. #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan