JERANTUT - Tiga buah kampung di sini menjadi perintis kepada projek tanaman belimbing buluh dalam usaha menjadikan tanaman tersebut sebagai produk komersial di daerah ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya telah menyerahkan sebanyak 3,000 anak pokok belimbing buluh kepada penduduk di tiga kampung terbabit iaitu Kampung Gintong, Bukit Puas dan Bukit Genting.
"Jerantut merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan masakan tradisional termasuk sambal hitam yang menggunakan belimbing buluh sebagai bahan utamanya.
"Dulu buah ini boleh diperoleh dengan harga murah, namun sekarang harganya semakin meningkat sehingga mencecah RM40 sekilogram kerana permintaan tinggi di pasaran," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, peningkatan harga buah itu adalah disebabkan kekurangan bekalan.
"Jadi, kita mengambil langkah untuk menjadikan belimbing buluh sebagai tanaman komersial di samping menjana pendapatan penduduk luar bandar," ujarnya.
Ahmad Nazlan berkata, selain diusahakan secara meluas, belimbing buluh juga boleh ditanam di kawasan yang terdapat di belakang rumah.
Beliau memberitahu, tanaman tersebut tidak memerlukan penjagaan rapi serta boleh mengeluarkan hasil dalam masa singkat.
"Buah ini banyak kegunaannya terutama dalam resipi masakan Pahang dan saya harap penduduk mendapat manfaat daripada projek tanaman ini dan akan berkembang pada suatu hari nanti sekali gus menjadikan daerah ini sebagai pengeluar belimbing buluh utama," jelasnya. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan