KUALA LIPIS - Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA), Lipis mengorak selangkah lagi dalam pendidikan alam sekitar apabila menubuhkan Kelab Pencinta Alam (KPA) di sini baru-baru ini.
Selaku sebuah IPG Lestari, institut itu akan menggerakkan program bagi memberi pendedahan pemuliharaan alam sekitar kepada penuntut yang juga bakal pendidik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long telah dilantik sebagai penaung KPA, IPGKTAA Lipis yang turut melancarkan kelab berkenaan baru-baru ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengarah IPGKTAA Lipis, Nordin Abdullah; Ketua Jabatan Sains dan Matematik (JSM), Mohd. Nazri Hassan dan Setiausaha IPG Lestari, Norliza Darus.
Bercakap kepada pemberita, Mohd. Nazri berkata, KPA ditubuhkan sebagai iltizam pihaknya untuk menghubungkait program kelab dengan kegiatan akademik di kampus.
"Kita mahu menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam persekitaran kondusif yang menerapkan kepentingan penjagaan alam sekitar," katanya.
Selanjutnya, Mohd. Nazri berkata, KPA akan melaksanakan program pendidikan alam sekitar secara kerjasama dan sokongan dengan agensi kerajaan dan pemimpin setempat di Lipis.
Sementara itu, menurut Norliza, jawatankuasa IPG Lestari akan diberi amanah untuk membangun, melaksana dan memantau polisi alam sekitar kampus yang menjurus kepada keprihatinan terhadap senario alam sekitar dalam kalangan warga kampus berkenaan.
"KPA perlu membina hubungan komunikasi yang sempurna dan inklusif dengan warga kampus di sini, di samping memastikan wujud kerjasama menerusi kegiatan yang diselenggarakan," katanya.
Menurut Norliza, antara pengisian IPG Lestari yang relevan untuk dilaksanakan ialah pengedaran brosur dan buletin kepada warga kampus tentang kempen anti-sampah dan memperbanyakkan poster kempen berkenaan di kampus. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan