KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Sesyen, beliau tidak akan berurusan dengan Datuk Shamsubahrin Ismail sekiranya mengetahui dari awal ahli perniagaan itu bukan dihantar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantunya.
Bekas pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) itu berkata ahli perniagaan itu memaklumkan kepadanya yang beliau dihantar oleh Dr Mahathir semasa pertama kali bertemunya di sebuah restoran di Taman Tunku di sini pada November 2011.
Katanya Shamsubahrin menyebut nama bekas perdana menteri sebagai orang sangat penting (VVIP) yang dimaksudkannya selepas beliau menegaskan tidak mahu meneruskan perbincangan sekiranya ahli perniagaan itu tidak mahu menyatakan nama VVIP tersebut.
"Pada masa itu, dia (Shamsubahrin) jawab tidak boleh memberitahu nama VVIP itu, saya kata 'ok' dan terus bangun serta mengambil fail untuk beredar namun Shamsubahrin kemudian menyebut nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan meminta saya duduk semula," katanya.
Mohamad Salleh, 66, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa, yang kini Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kelantan, selepas dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes Shamsubahrin, 48, menipunya membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.
Ketika disoal Abdul Razak mengenai semakan yang dibuat terhadap latar belakang Shamsubahrin, katanya semakan hanya dibuat selepas menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengarah Perdana Leadership Foundation Datuk Badariah Arshad, anak Dr Mahathir iaitu Mokhzani dan setiausaha politik Saufi Yusof.
Bagaimanapun, Mohamad Salleh memaklumkan beliau tidak bertanya sendiri kepada bekas perdana menteri itu.
Pada 26 Nov 2013, mahkamah memerintahkan Shamsubahrin membela diri atas lima pertuduhan pindaan menipu Mohamad Salleh.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang, 20 Nov 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.
Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat dan untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat polis berkaitan NFCorp.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa buah bank di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan di Petaling Jaya antara 25 Nov 2011 dan 5 Dis 2011, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semasa menjawab soalan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mewakili Shamsubahrin, Mohamad Salleh memaklumkan tidak pernah terlintas dalam pemikirannya untuk menganalisis latar belakang ahli perniagaan itu kerana pada masa itu menganggap orang yang dihantar Dr Mahathir untuk membantunya adalah orang yang baik.
"Pada masa itu, kami (NFC) banyak masalah dan perlukan seseorang yang boleh membantu untuk menangkis serangan pembangkang," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung 17 dan 18 Mac. - Bernama







Tiada ulasan:
Catat Ulasan