KUALA LUMPUR -Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kehilangan ibunya yang meninggal dunia, hari ini.
"Takziah kepada Datuk Seri Adnan Yaakob atas pemergian bondanya, Saadiah Osman, hari ini. Al-Fatihah," katanya dalam laman sosial Twitter beliau, hari ini.
Saadiah, 84, bekas Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong meninggal dunia kira-kira 10.50 pagi ini di Hospital Pakar KPJ Damansara dekat sini, susulan sakit batu dalam hempedu.
Allahyarham dimasukkan ke hospital itu pada 26 Januari lalu dan menjalani pembedahan tiga hari kemudian sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi selepas pembedahan itu.
Jenazah dibawa pulang kira-kira 1.30 tengah hari tadi ke kampung halamannya di Kampung Baru, Bentong, Pahang sebelum urusan pengebumian selepas solat Asar. - BERNAMA






Tiada ulasan:
Catat Ulasan