MARAN - Pelbagai pihak perlu berusaha mempopular dan mengembangkan unsur budaya rakyat Pahang sebagai satu identiti yang dapat mengukuhkan perpaduan serta ekonomi masyarakat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, seni budaya itu mempunyai kepentingan tersendiri dalam konteks masyarakat masa lalu, bertujuan memupuk nilai-nilai sosial, selain menyampaikan ilmu pengetahuan dan maklumat.
Menurutnya, walaupun masyarakat Melayu ketika ini mengalami proses modenisasi tetapi budaya yang memiliki nilai tinggi perlu dipertahankan.
''Kegiatan seni budaya tradisional kini dilihat kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini disebabkan proses globalisasi menyebabkan kegiatan itu semakin lesu.
''Kini di tangan penggiat budaya seperti badan kebudayaan dan kesenian, Kelab Seni Warisan, budayawan dan individu berperanan bagi menyuburkan seni warisan bangsa itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program merakyatkan Budaya dan Seni anjuran Kelab Seni Warisan Lubuk Paku (KSWLP), Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubuk Paku dan UMNO cawangan Lubuk Paku di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, Pahang sangat terkenal sebagai lokasi budaya terunggul kerana banyak seni negeri ini dijadikan rujukan seperti nyanyian lagu rakyat, silat, gendang Pahang, Dikir Pahang, joget Pahang, nazam, seni gamelan dan sebagainya.
Tambahnya, produk seni budaya jika dieksploitasi dengan bersistematik akan menyumbang kepada kemeriahan Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun ini.
Dalam pada itu, beliau memuji komitmen kelab tersebut dan berharap dicontohi organisasi lain yang cinta dan sayang akan keunikan seni budaya Pahang.
"Diharap kemunculan seni budaya Pahang dapat memberi impak sangat berharga kepada generasi baharu yang akan menyambung warisan seni ini,' katanya. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan