ROMPIN – Seramai lebih 50 orang pesawah dari Mukim Bebar telah berhimpun di hadapan Kilang Beras Bernas Kuala Rompin bagi menyatakan bantahan terhadap Bernas yang didakwa mereka mengenakan peratus potongan yang tinggi selepas kaedah pemutuan sebenar diguna pakai.
Mereka juga mendakwa kadar potongan itu tidak sepadan dengan mutu padi sebenar yang secara kasarnya dilihat baik dan tidak sepatutnya dikenakan peratus potongan tinggi bagi wap basah serta padi hampa.
Difahamkan, sistem pemutuan sebenar yang mengenakan peratus potongan yang tinggi itu telah menjejaskan pendapatan lebih kurang 2,000 keluarga tani di kawasan Kampung Nenasi, Kampung Pandan, Kampung Serom, Kampung Merchong dan antara mereka pula lebih terkesan adalah yang mengusahakan padi hanya seluas dua hektar.
Potongan cecah 43 peratus
Pesawah dari Kampung Pandan, Nenasi, Kasim Abd Rahman, 65, berkata, sebelum ini kadar peratus potongan hanya sekitar 18 hingga 19 peratus sahaja.
“Bagi musim kali ini pakcik betul-betul tidak faham mengapa peratus potongan begitu tinggi hingga mencecah 43 peratus iaitu setakat ini sedangkan padi cantik.
“Pakcik tidak buat pinjaman tetapi guna modal sendiri dan sekarang pendapatan diperoleh seolah-olah tak berbaloi dengan kerja siang malam bagi memastikan mutu padi yang dihasilkan baik,” katanya.
Katanya, ini belum dikira potongan bagi pembayaran zakat, kos mesin padi, tambang lori, meracun, membajak, membaja dan banyak lagi.
“Dikira dari segenap aspek, pendapatan diperoleh tidak pulang modal dan bagi yang modal sendiri mungkin rugi hanya sekali. Malah yang meminjam dua kali rugi kerana terbeban dengan hutang,” katanya.
Lunturkan semangat pesawah
Dalam pada itu, pesawah dari Merchong, Mohamad Rahman Taha, 27, berkata, apa yang terjadi ini sedikit sebanyak melunturkan semangatnya sebagai seorang pesawah muda.
“Kita memang terbeban dengan pelbagai kos seperti pembelian benih, racun bagi ulat dan rumput serta upah kepada tukang racun. Ini baru di peringkat menanam, belum lagi di peringkat penjagaan serta penuaian, semuanya ada kos.
“Jika keadaan peratus potongan tinggi ini berterusan, sebagai seorang pesawah muda memang luntur semangat hingga kadang-kadang terfikir untuk beralih kepada menanam sawit pula. Namun jika semua petani tanam sawit, akhirnya rakyat Malaysia nak makan apa?” katanya.
Wakil penduduk Mukim Bebar, Abdul Aziz Bakar, berkata, memorandum membantah sistem pemutuan sebenar dan kos pengangkutan dikenakan kepada petani telah diserah kepada wakil Bernas.
“Kami amat kesal dengan tindakan Bernas yang bersikap mementingkan keuntungan berbanding mahu membantu petani untuk peroleh pendapatan lebih hasil penanaman padi sejajar dengan misi dan visi Bernas.
“Tindakan yang diambil oleh Bernas dalam membuat pemutuan sebenar dengan membuat potongan melebihi 26 peratus dan mengenakan kos pengangkutan yang amat keterlaluan serta tinggi sedangkan sebelum ini tiada caj dikenakan adalah dibantah sekeras-kerasnya,” katanya.
Katanya, tempoh selama dua minggu dari tarikh memorandum diserahkan diberi kepada pihak Bernas untuk mengkaji semula sistem pemutuan padi dan kos pengangkutan tersebut sebelum tindakan selanjutnya yang lebih tegas akan diambil.
Jaga kebajikan petani
Sementara itu, Pengurus Kilang Beras Bernas Kuala Rompin, Mohd Anuar Ramly yang ditemui Sinar Harian mengesahkan menerima memo tersebut dan akan membawanya ke pihak pengurusan Bernas.
Sebelum ini, penyeragaman harga padi diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai inisiatif terbaharu kerajaan bagi menjaga kebajikan petani yang sering menjadi mangsa orang tengah.
Langkah itu membolehkan petani menjual secara terus hasil tanaman mereka kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan