TEMERLOH - Agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan kerajaan digesa bertindak secara bersepadu bagi mencari kaedah terbaik bagi mencegah penularan wabak denggi di kediaman, premis perniagaan dan tumpuan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, dengan cara memaksimumkan sumber sedia ada dan sokongan padu masyarakat amat penting bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes yang merupakan ejen penyakit maut itu.
Tegasnya, masyarakat perlu disedarkan tentang peranan mereka supaya tidak memandang rendah tempat pembiakan nyamuk aedes kerana jika tidak, wabak itu menjadi masalah kesihatan rakyat.
"Berdasarkan statistik wabak denggi di Temerloh, sebanyak 74 kes direkodkan pada 2012 dan meningkat kepada 103 kes pada tahun lalu.
"Mereka harus meletakkan tanggungjawab sosial membanteras wabak denggi sebagai satu tanggungjawab utama untuk mencegah bersama," katanya ketika berucap dalam perasmian Program Gotong-royong Perdana di Taman Sri Kemuning di sini kemarin.
Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, sikap tidak ambil tahu tentang usaha kempen pencegahan wabak denggi sama ada di kawasan perumahan atau premis perniagaan tidak patut berlaku di negeri ini.
Tambahnya, usaha membanteras wabak itu tidak membabitkan elemen politik kepartian tetapi satu tanggungjawab sosial yang perlu melibatkan keseluruhan masyarakat.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Temerloh, Dr. Azuwa Arif memberitahu, daripada 70 premis yang diperiksa di daerah ini sebanyak 67 daripadanya dikompaun RM33,500 kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Katanya, usaha membanteras wabak tersebut diteruskan dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran, ceramah, penyebaran risalah, nasihat individu, gotong-royong, poster dan lain-lain. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan