KUANTAN - Seorang anggota sukarelawan polis (PVR) cedera selepas terjatuh motosikal akibat ditendang seorang suspek dalam penugasan operasi Ops Tapis Khas Bersepadu di sekitar Taman Tas dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, Mohd Fahdirull Fiqrie Abdullah, 23, cedera di jari kelengkeng selain mengalami pendarahan di bahagian atas kening.
Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan dan menjalani pembedahan kecil akibat pendarahan di bahagian atas mata.
Mangsa difahamkan bertugas membantu 30 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang diketuai seorang pegawai.
Semasa menjalankan tugas, mangsa bersama seorang anggota menaiki sebuah motosikal terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menghampirinya untuk pemeriksaan.
Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bertindak menendang motosikal dinaiki mangsa dalam cubaannya melarikan dari.
Akibat tindakan lelaki itu, motosikal dinaiki mangsa terjatuh menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di jari serta atas kening.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd Haris Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Pada 16 Februari lalu, seorang anggota PVR parah akibat dirempuh motosikal ditunggang seorang remaja ketika cuba meloloskan diri dari sekatan Operasi Banteras Samseng Jalanan di Batu 4, Jalan Kuantan-Gambang dekat persimpangan lampu isyarat Permatang Badak di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, mangsa yang juga kakitangan mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohamad Ridzuan Mazlan, 28 dari Perumahan Indera Sempurna, di sini patah tulang betis kanan dan cedera di bahagian tangan serta muka.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan