Kesemua premis berkenaan adalah antara yang popular di sekitar Kuantan dan amat menjijikkan apabila tandas dan lantai dibiarkan kotor, terdapat lipas dan tikus di bahagian dapur, tin susu berkarat masih digunakan, pekerja tidak mematuhi syarat sebagai pengendali makanan serta pelbagai lagi kesalahan.
Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Amirullah Mohd Arshad berkata, tujuh premis diarah tutup menerusi operasi sebelah pagi melibatkan kira-kira 15 restoran yang diserbu.
Menurutnya, dianggarkan lebih banyak premis akan ditutup apabila semua operasi selesai dijalankan.
“Operasi ini melibatkan pemeriksaan ke atas 40 premis makanan di sekitar daerah ini yang dijalankan bermula kira-kira 10 pagi hingga waktu malam atau kesemua premis sudah diperiksa.
“Seramai kira-kira 32 anggota Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan terlibat dalam menjayakan operasi ini dan pemeriksaan dijalankan serentak oleh empat pasukan.
“Bagi sesi pagi, sebanyak tujuh premis diarahkan tutup, manakala sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, notis penutupan dikeluarkan apabila premis gagal mendapatkan markah memuaskan, manakala tindakan kompaun dijalankan buat kali pertama di Kuantan.
“Jika premis gagal mendapatkan 65 peratus ke atas, notis penutupan akan dikeluarkan dan penilaian merangkumi pelbagai aspek.
“Sebelum ini tindakan kompaun belum pernah dilaksanakan dan sempena operasi ini ia mula dikenakan contohnya kompaun RM 100 dikenakan bagi pekerja gagal mematuhi syarat sebagai pengendali makanan.
“Ini adalah kali kedua pemeriksaan dilakukan ke atas kesemua premis kerana sebelum ini peringatan sudah diberikan.
“Bagi premis yang ditutup, jika gagal mematuhi arahan dalam tempoh 14 hari, lanjutan tempoh penutupan akan dikenakan,” katanya.#sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan