Wartawan PDO News, juga cuba menghubungi Nurhidayah sejak namanya dihebohkan susulan kenyataan panas oleh pihak-pihak tertentu di laman sembang sosial Facebook berkenaan isu tersebut, namun ternyata tiada jawapan yang diperolehi setakat ini. Soalnya, kenapa wakil rakyat terbabit berdiam diri sedangkan dia sendiri tahu majoriti ahli UMNO yang keluar itu adalah penyokong kuat bekas ADUN Luit sendiri sebenarnya. Apakah benar mereka berkonflik atau sekadar khabar angin semata.
Laporan media Sinar Harian kelmarin juga ada menyebut bekas ADUN Luit yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Ahmad Munawar Abd Jalil dengan jelas menafikan beliau keluar UMNO dan masuk PKR. Malah, dia juga mendakwa telah menghubungi Nurhidayah yang menafikan berita tersebut.
Benarkah Hidayah dihubungi oleh bekas ADUN Luit itu atau sekadar untuk meredakan keadaan selepas isu kemasukan penyokong kuat bekas ADUN terbabit dihebohkan. Hanya mereka sahaja yang lebih tahu apa yang berlaku. Apapun, ramai pihak berharap agar UMNO Luit tetap bersatu walau dalam apa jua keadaan sekali pun bagi memberi kepercayaan kepada rakyat untuk terus menyokong BN pada pilihanraya umum akan datang.
Malah, ramai yang terkejut Nurhidayah tidak langsung mengambil serius atas isu berkenaan dan terus menjalankan kerja-kerja beliau dengan tenang setakat ini. Malah, semasa merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Gugusan Sentosa Berhad kali ke16 dis ini kelmarin, dia dengan jelas tidak langsung menunjukkan ada tanda-tanda keresahan akibat senario yang melanda.
Hidayah dalam pada itu berjanji untuk membantu koperasi agar bergerak maju seiring dengan kemajuan negara. Malah dia berjanji akan membawa pemimpin koperasi di DUN Luit bertemu dengan pihak atasan baik diperingkat negeri mahu pun pusat bagi membantu mereka dalam apa jua bidang sekali pun yang ingin diceburi.










