Angin semakin bertiup kencang. Tanggal 16 September, jadi atau tidak? Ramai yang menghubungi kami untuk mendapatkan info terkini tentang perkara ini. Apa yang boleh kami jawab ialah "Hanya Anwar yang tahu segala-galanya tentang 16 September". Sama juga dengan "Pilihanraya umum, hanya Pak Lah yang tahu bilakah tarikh parlimen akan dibubarkan". Namun, kali ini berbeza kerana ia bukan lagi tarikh parlimen dibubarkan malahan lebih dari itu. Maka semakin hari semakin panas isu ini diperkatakan. ramai yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan info terkini. Mereka tertanya-tanya dan tidak dapat tidur lena gara-gara mengenangkan detik 16 September ini.Di pihak kerajaan, maklumat diterima hanya hanya 49 orang sahaja ahli parlimen BNBBC yang dikatakan telah sah berdaftar untuk turut serta dalam lawatan sambil belajar ke luar negara. Destinasi yang dipilih bukan lagi Amerika atau China tetapi Taiwan. Hajatnya untuk meneroka ilmu pertanian di negara tersebut. Lebih menarik masa juga telah dipendekkan hanya 8 hari sahaja. Jika dibandingkan dengan jumlah ahli parlimen BN secara keseluruhannya, maka bukti jelas bahawa program lawatan sambil belajar itu tidak mendapat sambutan dari kalangan ahli parlimen BN sendiri. Apatah lagi dikalangan mereka yang diwar-warkan akan "lompat parti" menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008.
Kesangsian apakah detik 16 September menjadi kenyataan semakin menjadi bualan dimana-mana. Rakyat Malaysia seolah-olah tidak sabar untuk melihat perubahan berlaku dalam tampuk pemerintahan negara. Bagi pimpinan UMNO, mereka nampaknya terpaksa menyembunyikan kegusaran dengan mengatakan omongan Anwar itu hanyalah khayalan semata-mata. Bahkan "petualang rakyat" Ezam Md Nor yang menyepi selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini pun sudah mula berbunyi. Kononnya Anwar menagih simpati rakan-rakannya diluar negara untuk mempercayai beliau tidak terlibat dengan "isu liwat". Baginya itulah tujuan Anwar ke Jakarta baru-baru ini. Anwar mahu menyakinkan rakan-rakannya yang beliau tidak bersalah. Tambahan pula kes itu akan dibicarakan di mahkamah pada 10 September ini, iaitu 6 hari menjelang tanggal 16 September.
Berita terkini, pemimpin Pakatan Rakyat telah mengadakan satu pertemuan "sulit" di ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi. Pertemuan ini khabarnya untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan pusat. Malam tadi, satu pertemuan yang sama juga telah diadakan hampir tiga jam di rumah Anwar (Bukit Segambut), dan ia diteruskan hari ini kerana banyak isu lagi yang ingin dibincangkan ke arah itu. Kesemua pemimpin Pakatan Rakyat dipercayai telah hadir kecuali Presiden PAS Tuan Guru Dato' Hadi Awang.
Adalah difahamkan pertemuan itu hanya memfokus terhadap pelan pembentukan kerajaan persekutuan 16 September dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Perbincangan pertemuan informal ini hanya memfokus satu topik iaitu menerangkan perbincangan dan perundingan yang telah diadakan sejak dua minggu yang lalu. Kita telah berkongsi hasil perundingan dengan ahli-ahli Parlimen BN setakat ini. Perbincangan adalah positif dan semua perancangan berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang.
Dengan perkembangan terbaru ini, maka kita yakin "16 September" akan tercapai hendaknya. Bukan hanya sekadar fantasi tetapi ianya adalah satu realiti yang perlu untuk membawa kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan BN perlu akur dengan kehendak rakyat. Mereka tidak lagi perlu angkuh dan sombong kononnya mereka dipilih oleh rakyat secara "demokrasi" menerusi "amalan pilihanraya". Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa bahawa "demokrasi itu telah tercemar" dan pilihanraya yang berlaku ternyata tidak bersih dan penuh dengan penipuan yang nyata. Justeru itulah, kerajaan BN yang ada adalah kerajaan "penipu" yang perlu dikorbankan demi rakyat keseluruhannya. Rakyat adalah hakim negara !!
[Laporan terkini, Anwar mengesahkan 32 orang ahli parlimen BN sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai Pakatan Rakyat. Maklumat ini diberikan selepas pertemuan mereka di Ibu Pejabat PKR pagi tadi. Jika ianya benar, ia bermakna harapan cerah untuk kita menerima kerajaan baru 16 September ini pasti akan tercapai. Perubahan akan berlaku jua akhirnya. Suara Rakyat Suara Keramat !!]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan