Keputusan penggantungan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Pulau Pinang, selama 3 tahun dan dilucutkan hak adalah satu lagi langkah "malang" buat parti karat itu. Biarpun ia mungkin adalah sedikit kelegaan buat Pak Lah, namun "implikasi 16 September" lebih jelas dapat dilihat dalam kes ini. Keputusan ini sebenarnya amat mengecewakan para pemimpin MCA dan Gerakan. Mereka melihat keputusan yang dibuat itu lebih memihak kepada Ahmad dan langsung tidak menunjukkan semangat "kerjasama" antara sesama parti komponen BN dalam menangani kes ini. Apa tidaknya, Ahmad membenarkan penyokongnya mengoyakkan poster Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon dan beliau sendiri mengarahkan agar Gerakan disingkirkan daripada BN. Ini bermakna, apa yang disarankan oleh Ahmad itu adalah perkara serius dan amat "bertentangan" prinsip kesepakatan pakatan karat biru dacing itu. Namun, segalanya kini berpihak kepada Ahmad Ismail. Beliau bukan sahaj tidak dipecat malahan juga berpeluang untuk "muncul" kembali selepas tamat tempoh penggantungannya itu. Ahmad juga kelihatan gembira dan bersemangat dengan keputusann itu. Malahan beliau begitu berbangga kerana namanya kini menjadi "popular" gara-gara isu perkauman yang diperkatakan oleh orang ramai kini. Mungkin Ahmad akan lebih popular dari Ariff Shah, calon BN semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu. Inilah yang menyebabkan Ahmad begitu gembira tatkala menerima hukuman berkenaan. Malahan secara lantang menyatakan beliau reda dengan keputusan itu dan sekalipun tidak akan "memohon maaf" atas apa yang berlaku. Ini bermakna kes beliau tidak akan selesai setakat ini sahaja. Pasti akan berlaku satu perkembangan luar biasa gara-gara tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan UMNO terhadap Ahmad itu nanti.
Apa yang pasti, keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO ini bakal mengundang padah yang lebih besar. Apa yang berlaku jelas sekali menggambarkan "kelemahan" Pak Lah dalam menangani isu sensitif seperti ini. Keputusan itu bermakna, Pak Lah masih memberi muka kepada Ahmad Ismail. Kerana itulah beliau bagaikan "pendekar" yang mengatakan akan tetap bersama UMNO dan akan kembali semula ditempat yang sama dengan pendirian yang sama nanti. Beliau berkata "jika takutkan ombak, jangan berumah ditepi pantai". Ini bermakna jika tidak mahu menanggung risiko jangan berani mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti itu. Apakah akan terjadi kepada BN Pulau Pinang bila Ahmad kembali semula tiga tahun dari sekarang? Bukankah beliau akan kembali duduk semeja dengan Koh Tsu Koon. Apakah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu boleh menerima keadaan ini. Sedangkan dalam masa yang sama segala kesalahan tidak dimaafkan lagi. Inilah dia petanda BN bakal karam di Pulau Mutiara gara-gara kelemahan Pak Lah. Sebutir "Mutiara" lagi bakal muncul untuk melakukan agenda perubahan. Natijahnya, semoga MCA dan Gerakan dapat menilai segala yang berlaku ini.
[Pergolakan yang berlaku dalam pakatan BN Pulau Pinang ini juga adalah merupakan isyarat yang sama diperingkat pusat. Kerana kedua-dua yang akan naik dan jatuh juga adalah dari Pulau Pinang, iaitu Pak Lah (Kepala Batas) dan Anwar (Permatang Pauh). Bahkan kawasan parlimen mereka juga berjiran sebenarnya. Maka itulah Pulau Pinang adalah sememangnya adalah Pulau Mutiara, kerana disitulah bakal lahir "Mutiara Asia Tenggara" nanti]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan