Sekumpulan remaja menculik pelajar perempuan berumur 16 tahun, membunuh mangsa dan membakar mayatnya di Kulai Jaya malam Jumaat lepas. Penculik berkenaan kemudian menuntut wang tebusan RM33,000 daripada keluarga Lai Ying Xin bagi "membebaskan" pelajar itu. Keluarga itu membayar tebusan itu , tidak sedar yang mayat mangsa yang sudah mulai reput telah dibuang di kawasan semak di Taman Putri.Difahamkan mayat Lai dibakar bagi tujuan memusnahkan sebarang petunjuk yang mungkin dapat mengenal pasti pembunuhnya yang memang dikenali oleh keluarga mangsa. Polis percaya pelajar itu dibunuh dalam tempoh 24 jam selepas dia diculik di depan sebuah pasar raya, tempat dia bekerja sambilan. Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata bertindak atas maklumat, pasukan polis menahan seorang remaja berumur 16 tahun yang tidak lagi bersekolah dan dua lelaki dalam sebuah Perodua Kembara di Kulai pada 6.15 petang semalam. Beliau berkata dua pertiga daripada wang tebusan itu dirampas daripada suspek. Tun Hisan berkata kira-kira setengah jam kemudian, seorang lagi suspek berumur 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh itu.
Hasil soal siasat terhadap keempat-empat suspek, polis dibawa ke kawasan semak di Taman Putri pada kira-kira 1.40 tengah hari ini, di mana mayat Lai yang hangus ditemui. Sementara polis menunggu hasil bedah siasat untuk menentukan punca kematian Lai, kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 Sept untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Menyifatkannya sebagai kes tragik, Tun Hisan berkata walaupun keluarga mangsa membayar wang tebusan kepada penculik kira-kira 3 pagi semalam, pelajar itu tidak dibebaskan. Beliau berkata keluarga mangsa tahu identiti penculik berkenaan. "Mangsa seorang pelajar cemerlang...dia mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun lepas." Jumaat lepas, Lai tidak pulang ke rumah menjelang pukul 9 malam selepas selesai bekerja secara sambilan di pasar raya itu. Kira-kira pukul 6.20 pagi keesokannya, ibu pelajar itu menerima panggilan daripada penculik, menuntut sejumlah wang tebusan. Bertindak atas laporan keluarga mangsa, polis menubuhkan pasukan khas untuk menyelamatkan Lai.
[Melihat kepada berita ini seakan teringat kita kepada pembunuhan ngeri Altantunya sebelum ini. Kerana ingin menghilangkan bukti maka mayat wanita Mongolia itu diletupkan dengan Bom C4. Sementara itu dalam kes ini penjenayah hanya membakar mayat mangsa bagi menghilangkan bukti. Ini bermakna apa yang berlaku kepada Altantunya kini menjadi ikutan penjenayah lain di negara ini. Penjenayah semakin berani bertindak diluar batasan, mungkin kerana mereka tahu mahkamah boleh menyelamatkan diri mereka jika ada kemahuan]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan