Ini satu berita menarik untuk dikongsi bersama pembaca, iaitu perihal menganjur "Skim Pelaburan Internet" yang ditangkap dan didakwa di mahkamah. Kebetulan wartawan Pahang Daily amat mengenali dan rapat juga dengan individu terbabit, bahkan rumah kami di Kuantan juga berdekatan. Kami dimaklumkan penangkapan beliau menerusi media arus perdana. Rakan-rakan kita di Pahang memang amat "rapat" dengan beliau, namun sememangnya ada yang berkata nama beliau begitu "popular" di Kuantan sejak sekian lama. Ini kerana beliau terlah berjaya memperolehi ratusan ribu ringgit hasil penglibatan dalan pelbagai syarikat MLM yang disertainya. Namun, sekitar 2004 namanya hilang di Kuantan dan tiba-tiba beliau meletop di tempat lain hasil kejayaan mengumpul ratusan juta ringgit dalam bisnes yang dikaitkan dengan saham internet dulu. Apakah beliau benar-benar bersalah atau sebaliknya?. Kerana sebelum ini beliau dikatakan begitu sinonim dengan produk penjimatan minyak kenderaan iaitu "Stromberg". Umum mengetahui, ramai yang terpengaruh dan terlibat dengan kegiatan ini, ramai penganjur yang masih bebas dan tidak ditahan. Soalnya, kenapa hanya beliau sahaja yang ditahan dan didakwa, walhal bersepah-sepah lagi program seperti ABB Fund, Swisscash, EA Index, Jingli, Winli Fund dan sebagainya.Mahkamah Sesyen Kuantan semalam membenarkan permohonan pendakwa dalam kes sepasang suami isteri yang dituduh menerima deposit tanpa lesen melibatkan pelaburan sebanyak RM222 juta, untuk memindahkan tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan di Kuantan. Hakim Jagjit Singh Bant Singh akan menyebut semula kes tersebut pada 5 November depan bagi sebutan semula kes bersama 189 pertuduhan penggubahan wang haram bernilai hampir RM170 juta yang melibatkan Jailani Jabar, 48, dan isterinya, Latifah Taib, 47. Keputusan itu dibuat Jagjit Singh berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya,
Dzulkifli Ahmad yang meminta supaya perbicaraan bersama diadakan bagi semua pertuduhan yang tertakluk di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Pada prosiding tersebut, peguam V. Kumaresan yang mewakili kedua-dua tertuduh bagi tiga pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 turut memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1 juta bagi Jailani dan RM500,000 bagi Latifah.
Beliau ketika permohonan tersebut meminta mahkamah menimbangkan kesukaran keluarga tertuduh bagi mencari seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain jumlah jaminan yang terlalu besar. Dzulkifli pula menjawab, berdasarkan peruntukan di bawah Sesyen 394 Kanun Tatacara Jenayah, hakim tidak mempunyai kuasa untuk meminda jumlah jaminan yang telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, namun mengambil kira permohonan perbicaraan bersama, jumlah jaminan boleh dikurangkan mengikut budi bicara hakim.
Setelah mengambil kira hujah kedua-dua pihak, Jagjit menetapkan jaminan RM1 juta bagi Jailani dan RM500,000 bagi Latifah bagi semua pertuduhan di bawah kedua-dua akta terlibat.
Pada 23 Julai lalu, Jailani dan Latifah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini masing-masing atas 106 pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan nilai RM98.7 juta dan 89 pertuduhan membabitkan nilai RM71.3 juta. Kedua-dua tertuduh yang didakwa melakukan perbuatan tersebut antara bulan Februari 2006 dan Oktober tahun lalu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan yang dibacakan di tiga buah mahkamah di hadapan Jagjit Singh, Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain dan Hakim Habibah Mohamed Yusof.
[Biarpun skim pelaburan internet telah diharamkan oleh pihak kerajaan, namun khabarnya sekarang ini muncul lagi berbagai skim yang berpusat di Kuantan. Kaedah koperasi dan projek pula digunakan untuk mengaburi mata para pelabur. Maka ramailah individu yang mula terjebak semula akibat mahukan untuk cepat dan mengharap dapat menjadi jutawan segera]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan