
Krisis perbalahan antara Gerakan dan UMNO Pulau Pinang semakin meruncing sekarang. Apakah ini petanda yang jelas bahawa parti kedua kaum Cina dalam BN itu bakal "keluar" dan menyertai "Pakatan Rakyat"?. Keenganan Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera untuk memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat kaum Cina di negeri ini bakal mengundang padah sebenarnya. Angin kencang betiup bagai mengesahkan yang sesungguhnya Gerakan bakal meninggalkan BN dalam masa terdekat ini. Terbaru kenyataan Ahmad yang masih lagi mempertahankan tindakannya yang dikatakan menghina orang-orang Cina di Malaysia perihal persamaan hak. Biarpun Ahmad mengatakan ia termaktub dalam sejarah. Namun sejarah juga membuktikan yang orang Cina dan India kini adalah rakyat Malaysia yang sah. Mahu atau tidak, kenyataan itu harus diterima biarpun fakta terdahulu mengatakan mereka adalah pendatang di negara ini.
Sama juga dengan orang Melayu yang berada di Malaysia yang kebanyakkannya adalah pendatang dari tanah seberang (Indonesia). Apakah kita boleh dikatakan sebagai pendatang?. Maka itu setelah kita sama-sama mengecapi erti sebuah kemerdekaan perkara ini tidak perlu diungkit-ungkitkan lagi. Inilah padahnya bila Ahmad Ismail yang sengaja ingin mencari populariti dengan membangkitkan isu ini ketika kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini. Atas kenyataan itu kini hubungan antara Gerakan dan UMNO semakin dingin. Terbaru, pemimpin kanan Gerakan Wilayah Persekutuan secara rasmi menyertai PKR. Politik perkauman sememangnya sudah tidak lagi "relevan" di bumi Malaysia tercinta ini. Maka itulah orang-orang Cina dan India melihat PKR adalah wadah sebenar "acuan politik alaf baru" yang bakal membawa kesejahteraan dan kebajikan untuk semua kaum di negara ini. Kealpaan Ahmad dalam menangani isu ini jelas sekali membakar "kemarahan" pemimpin kaum Cina. Apakah Gerakan dan MCA juga bakal membuat keputusan "drastik" selepas ini.
Ketegangan ini menyebabkan PM Pak Lah juga semakin menggelabah. Beliau juga gusar dengan sokongan serta kepercayaan kaum Cina BN terhadap keikhlasan UMNO. Isu Ahmad menjadi saksi bahawa UMNO sememangnya memang mengamalkan perkauman. Maka itu langkah terbaik ialah beliau mengkaji untuk mengenakan tindakan tegas kepada Ahmad. Dalam kenyataan Pak Lah kepada media di Wisma Putra hari ini, beliau begitu kecewa dengan sikap Ahmad Ismail itu. Walhal, baru sehari yang lalu beliau telah menerima keputusan Ahmad ketika berkunjung ke Pulau Pinang. Baginya Ahmad berkata demikian berlandaskan "fakta sejarah". Namun kaum Cina mahu Ahmad dikenakan tindakan, serta pihak polis menjalankan siasatan berhubung dengan kes ini. Ini berikutan, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap pemimpin UMNO Pulau Pinang itu. Mereka mahu Ahmad dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan dan bukannya diberi muka sewenang-wenangnya oleh pucuk pimpinan UMNO.
Kenyataan terbaru Pak Lah semalam, jelas sekali menunjukkan yang beliau juga takut dengan "desas-desus" Gerakan akan bertindak keluar dari pakatan karat dacing itu. Ini akan menyebabkan BN kehilangan sokongan kaum Cina dan bakal karam sedikit masa lagi. Apapun kita yakin dan pasti sesungguhnya krisis yang berlaku ini bakal menjadi pemangkin ke arah perubahan yang lebih besar selepas ini.
[Sebenarnya ramai lagi pemimpin UMNO yang bercakap kurang ajar kepada kaum Cina di negara ini. Ini termasuklah Menteri Besar Pahang sendiri ketika persidangan DUN Pahang di Kuantan baru-baru ini. Kelantangan suaranya berhujjah dengan YB Leong Ngah Ngah (DAP Triang) jelas sekali membuktikan sesungguhnya UMNO tidak suka kepada orang-orang Cina]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan