Sejak kempen Pilihan Raya Permatang Pauh bermula, saya telah diberitahu bahawa terdapatnya satu email yang mengatakan saya membawa sekumpulan penduduk di Puchong mengadakan petisyen untuk membantah azan terhadap sebuah masjid di Puchong, dan saya dikatakan membentangkan petisyen ini kepada YB Satim, ADUN UMNO di Puchong. Pada mulanya, saya tidak peduli khabar angin ini kerana saya amat sibuk dengan banyak urusan kerajaan. Tetapi selepas itu, email yang diedarkan di internet ini telahpun dihantar kepada lebih ramai orang, termasuk wakil rakyat kaum Melayu dan wartawan di akhbar Bahasa Malaysia. Pada Ahad yang lepas, saya terima panggilan daripada YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan dua orang pemberita daripada Berita Harian dan Sinar Harian mengenai isu ini. Pada hari ini, saya juga terima panggilan daripada pemberita daripada Utusan Malaysia yang menyoal saya tentang perkara ini, beliau berkata Khir Toyo juga mendakwa saya berbuat demikian. Tibalah masa bagi saya untuk menerangkan perkara ini dengan kenyataan yang saya telah ulangi kepada YB Khalid Samad dan pemberita pada Hari Ahad adalah seperti berikut:
i) Saya sendiri tidak pernah menerima aduan daripada penduduk di Puchong berkenaan dengan isu azan ini, jadi saya langsung tidak tahu tentang perkara ini dan saya amat hairan untuk mendengar tuduhan tersebut;
ii) Sekiranya saya terima aduan daripada penduduk di Puchong, adalah langsung tidak masuk akal bagi saya sebagai exco Kerajaan Selangor untuk mengadakan petisyen dan membentangkannya kepada YB Satim, seorang ADUN daripada parti pembangkang, kerana beliau bukannya kadi ataupun pengurus masjid, buat apa saya tulis surat kepada beliau yang tiada kuasa tentang perkara ini? Sekiranya saya terima aduan daripada penduduk, saya akan minta bantuan daripada YB Datuk Dr Hasan Ali, iaitu exco yang menjaga Hal Ehwal Islam di Selangor, ataupun pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam di Selangor, dan bukannya Satim. Satim gagal menunjukkan bukti Saya minta pemberita yang menanya komen saya tersebut untuk minta surat yang dikatakan ditulis oleh saya daripada Satim, tetapi pembantu Satim gagal menunjukkan bukti tersebut kepada pemberita akhbar Bahasa Malaysia tersebut.
Kegagalan menunjukkan bukti tersebut menunjukkan kesemua tuduhan yang disebarkan dalam email dan pemimpin UMNO Selangor tersebut merupakan pembohongan yang besar. Kes Aduan Tentang Azan di Kondominium di Bandar Tun Razak sebenarnya pada dua tahun yang lepas, saya pernah menerima aduan daripada penduduk bukan Islam di sebuah pangsapuri di Bandar Tun Razak berkenaan dengan bunyi azan yang terlalu kuat pada awal pagi. Saya terpaksa bercampur tangan dalam isu tersebut kerana ia telah mencetuskan pergaduhan dan permusuhan yang agak serius di antara penduduk bukan Islam dan penduduk beragama Islam. Pada waktu itu, saya minta bantuan daripada pengarah Jawi di Wilayah Persekutuan dan kami pernah mengadakan satu dialog di antara penduduk yang beragama Islam dan bukan Islam di kondominium tersebut secara bersama. Akhirnya, isu di kondominium itu diselesaikan dengan bantuan daripada Pengarah Jawi di Wilayah Persekutuan. Saya tidak memanggil sidang akhbar ataupun menggalakkan pengadu di kondominium berkenaan untuk membuat apa-apa petisyen, dan pergaduhan di kondominium tersebut diselesaikan secara “low key” sahaja. Penduduk yang membuat petisyen hantar faks kepada saya.
iii) Selepas kenyataan saya disiarkan dalam surat khabar semalam, saya terima satu faks daripada seorang pengundi di kawasan Puchong di pejabat saya. Faks tersebut mengandungi satu surat dan juga petisyen daripada beberapa ratus penduduk di Puchong kepada Satim. Barulah saya sedar memang terdapat sekumpulan penduduk di Puchong membuat petisyen kepada Satim berkenaan dengan isu azan ini.Selepas itu, saya diberitahu oleh bekas pembantu pejabat perkhidmatan Kinrara saya bahawa penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabat saya dan minta bekas pembantu saya untuk ”acknowledge receipt” dengan cop pejabat saya dalam surat mereka.
Tetapi adalah jelas bahawa surat petisyen mereka kepada Satim bukan dibuat atas surat kepala pejabat saya.Perbuatan UMNO Selangor Sangatlah Keji Adalah jelas bahawa Satim dan orang UMNO telah memutar-belitkan cerita tersebut. Satim dan Khir Toyo cuba menggunakan taktik kotor mereka untuk membangkitkan kemarahan orang Islam dan orang Melayu di Puchong dan Selangor terhadap saya dalam isu ini. Mereka cuba mewujudkan kesangsian orang Melayu terhadap pemimpin DAP dan cuba menggambarkan saya dan rakan saya dalam DAP sebagai orang politik yang anti Melayu dan anti Islam. Perbuatan pemimpin UMNO Selangor ini adalah amat keji. Bukankah sekarang bulan Ramadhan, bulan suci? Bukankah mereka sebagai penganut agama Islam sepatutnya kuat bersembahyang dan bertaubat ke atas perbuatan mereka yang lepas? Apakah mereka masih mereka tuduhan yang bukan-bukan dan pembohongan terhadap saya ini bertentangan dengan ajaran Islam dan bulan Ramadhan?
Saya amat menghormati orang Islam yang berpuasa dan berpegang kuat ke atas ajaran agama mereka. Saya selalunya berdoa bersama dengan rakan kerja yang beragama Islam apabila membuat doa Al-Fatihah sebelum bermulanya mesyuarat dan sebelum makan, kerana saya juga percaya pada Tuhan yang Maha Kuasa dan Pencipta kita yang mengadili kita dalam dunia ini dan pada Hari Akhirat.Peribahasa yang selalu digunakan oleh Orang Cina ialah “Tuhan ada mata”. Saya percaya Tuhan yang maha kuasa ini tengah melihat dan memantau apa yang berlaku pada kita semua. Saya juga percaya balasan dan hukuman Tuhan tentu akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab dan orang yang bohong. Adalah lebih baik bagi Satim dan Khir Toyo untuk insaf dan bertaubat dalam bulan yang suci ini!!”
Kenyataan diatas dipetik dari blog YB Teresa Kok mengenai hal sebenar kejadian yang menyebabkan beliau telah ditahan ISA. Terbukti sekarang UMNO sudah semakin ketandusan idea yang akhirnya menjerumuskan mereka kepada isu-isu perkauman dalam usaha menagih kembali sokongan rakyat. Kita amat kesal dengan apa yang berlaku ini. Ahmad Ismail yang terbukti jelas memainkan isu perkauman dibiarkan bebas!! Sebaliknya, orang kita yang hanya disabitkan dengan kesalahan email dan komen artikel ditahan ISA. Inikah dia keadilan yang dicanangkan dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini?. Pak Lah harus bertanggungjawab atas segala apa yang berlaku. Kes sepatutnya disiasat dan dibawa ke mahkamah. Jika berlaku kes bunuh orang yang menyebabkan rakyat berada dalam ketakutan mereka tidak pula menahan yang dituduh dengan akta ISA. Lihat sahaja kes Altantunya, dibicarakan hingga akhirnya menimbulkan keraguan dan akhirnya mungkin pesalah akan dibebaskan kerana kekeliruan bukti. Sama juga dalam kes Noritta Shamsuddin dulu. Akhirnya tiada yang bersalah dalam kes tersebut. Apakah kita mahu melihat undang-undang sebegini terus berlaku dalam negara kita ini?. Maka elok benarlah pemerintah yang zalim dan tidak berperi kemanusian ini di"nyahkan" dari terus berkuasa. Semoga agenda perubahan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi kita melihat sebuah negara yang adil dan saksama.
[Semoga YB Teresa dapat terus tabah menghadapi dugaan ini. Ingatlah seluruh rakyat berpihak kepada kebenaran. Rakyat tahu apakah agenda mereka sebenarnya. Ia itu tidak lain tidak bukan untuk melaga-lagakan antara sesama kaum di negara ini, walhal di Puchong sendiri keadaannya adalah terkawal dan tiada apa-apa pun yang berlaku. Mereka hanya bersandiwara ]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan