Tiba-tiba pula si menantu kesayangan Pak Lah, Khairy Jamaluddin yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO mengaku ada pihak yang menyekat beliau bertemu dengan ahli-ahli pergerakan itu. Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan lawannya, anak mantan PM Mahathir iaitu Mukhriz. Dalam laporan yang sama baru-baru ini, Mukhriz mengatakan ada usaha-usaha pihak tertentu menghalang beliau bertemu dengan ahli-ahli pergerakan tersebut di seluruh negara. Maka, persoalannya mana satu yang betul?. Tanpa perlu mencari jawapan Pahang Daily sudah boleh mengagak bahawa dalam hal ini kenyataan Mukhriz adalah yang betul dan Khairy sengaja mencari alasan untuk "menegakkan benang yang basah".Tindakan beliau membuat kenyataan yang sama itu bagi mengaburi mata ahli pemuda supaya bersimpati terhadap beliau dan bagi meredakan tekanan yang berpihak kepada Mukhriz. Kami mendapat laporan, memang ada usaha menghalang anak bekas PM itu dari bertanding. Khairy tidak gentar calon-calon lain, beliau hanya risaukan kelibat Mukhriz. Tambahan pula anak muda itu turut mendapat sokongan padu daripada Tun Mahathir serta juak-juaknya dalam "Team Najib Razak". Maka harapan untuk Mukhriz menang semakin cerah jika tidak ada unsur "provokasi" dibuat. Maka itulah Khairy terpaksa melakukan apa sahaja demi menjayakan cita-citanya. Beliau mahu supaya Muhkriz dihalang dan pencalonannya tidak cukup "kuota" untuk bertanding jawatan tersebut Disember ini.

Muhkriz harus lakukan sesuatu demi mengelakkan maruah ayahandanya dari terus tercalar. Beliau harus bangkit demi keluarga. Jika beliau tewas bererti masa depan politiknya akan terus malap dan merundum. Mahu atau tidak beliau harus berjumpa dengan ahli-ahli pergerakan itu diseluruh negara untuk memberi sokongan padu kepada beliau. Beliau juga tahu bahawa, kroni-kroni ayahanda dalam UMNO masih bertaburan disana sini. Jika Khairy berjaya menghalang beliau dengan cara ini, maka harapannya untuk bangkit setapak lagi kian pudar. Oleh itu beliau harus lakukan sesuatu demi masa depan kerjaya politiknya kelak. Khairy dalam kenyataannya di Kota Bharu, Kelantan semalam berkata “Saya mempunyai bukti, ada yang memang nak datang tetapi mendapat arahan supaya jangan hadir. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana saya sendiri tidak pernah menyekat mana-mana ahli Pemuda daripada berjumpa dengan pemimpin yang bakal bertanding,” katanya. Beliau juga turut menegaskan bahawa baginya sesiapa sahaja yang menang tidak penting tetapi yang paling utama selepas kemenangan itu UMNO dan Pemuda semakin bertambah kuat, perpaduan semakin meningkat dan bukannya terus musnah akibat perpecahan yang bakal berlaku. Jawatan Ketua Pemuda UMNO setakat ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mukhriz; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy.
Kenyataan Khairy bahawa dirinya dihalang adalah amat janggal sekali bunyinya. Lebih elok beliau berdiam diri daripada berkata sesuatu yang tidak masuk akal. Kenyataan beliau itu jelas untuk memperli dan menyembunyikan sesuatu. Walhal umum mengetahui bahawa Khairy cukup terkenal dengan kerja-kerja menghalang itu. Bahkan beliau juga cukup popular dengan kerja "memunggah pengundi". Lihat sahaja apa yang berlaku di Kelantan semasa pilihanraya umum lalu. Habis berbondong-bondong anak muda dari Lembah Kelang dipunggah ke Kelantan, untuk mengundi BN. Namun padah menimpa apabila sebaliknya pula yang berlaku. Maka kita tidak hairan jika kerja-kerja menghalang ini juga dilakukan oleh beliau. Mukhriz harus bersabar dan menghadapi semua ini dengan sebaik mungkin. Jika tidak harapannya akan hancur lebur dihenyak oleh menantu Pak Lah yang kian dibenci oleh puak-puak UMNO itu.
[Perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini adalah yang paling panas dalam sejarah kerana ianya adalah mencerminkan imej "siapa dibelakang mereka". Pertembungan antara Khairy dan Mukhriz adalah mencerminkan penerimaan akar umbi terhadap Pak Lah atau Mahathir / Najib. Maka itu berbagai propaganda bakal dilakukan oleh kedua-dua pihak untuk memastikan kemaraan mereka nanti. Semoga ini akan membawa kehancuran kepada UMNO]






Tiada ulasan:
Catat Ulasan