Kabarnya, sebelum projek dijalankan pauk-puak UMNO Pahang telah mendapat tender bagi mengeluarkan balak sepanjang lebuhraya terbabit. Maka ramailah para pemimpin UMNO setempat yang mendapat "durian runtuh". Kemudian, bila projek itu dimulakan terdapat banyak kelemahan yang dikenalpasti. Namun dek kerana arahan pihak atasan, LPT terpaksa disiapkan biarpun tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Akibatnya banyak masalah yang berlaku seperti jalan sering rosak, berlaku masalah banjir (Lanchang), jalan beralun-alun, jambatan rosak, serta macam-macam lagi. Susulan daripada itu, maka banyaklah kejadian kemalangan yang telah berlaku walhal dijalan yang lurus. Lebih malang, biarpun baru sebulan dilancarkan sudah ada jalan yang rosak dan perlu dibaiki. Ini menyebabkan ia menimbulkan masalah kepada para pengguna. Terkadang, sepanjang perjalanan kita akan bertemu dengan dua tiga tempat jalan rosak dan sedang diperbaiki. Ini menyusahkan para pengguna, kerana jalan dua lorong dijadikan satu lorong akibat penyelengaraan itu. Hasilnya ramailah pengguna lebuhraya berkenaan yang merungut. Namun, kepada siapakah mereka harus mengadu?
Pahang Daily cuba membuat pemantauan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur minggu lalu. Masya Allah !! Rupanya ia bakal mengundang masalahh yang lebih besar kepada pengguna menjelang hari raya ini. Kesesakan yang luar biasa pasti akan berlaku, kerana trafik akan meningkat terutamanya dua tiga hari menjelang Aidil Fitri. Apa tidaknya, sepanjang perjalanan dari Kuantan ke Karak, kami telah melalui bukan satu, dua atau tiga, malahan empat kerosakan jalan di lebuhraya berkenaan. Sungguh malang nasib rakyat kerana terpaksa menanggung semua ini. Kerja-kerja penyelengaraan sedang dilakukan dan ini menyebabkan di keempat-empat kawasan kerja berkenaan, jalan dua lorong akan dijadikan satu lorong. Dikala ini, mungkin ianya tidak menjadi masalah. Namun kita pasti masalah yang besar akan menimpa tatkala syawal menjelma. Mengapakah ini terjadi? Tidakkah pihak MTD dapat mengenalpasti masalah ini sejak dari awal lagi. Mengapakah lebuhraya LPT terlalu teruk keadaannya daripada lebuhraya PLUS. Apakah ini projek mega yang dikatakan membela serta memberi kemudahan kepada rakyat. Nampak sangat penyelewengan berlaku dalam projek ini. Bayangkan pernah terjadi baru-baru ini, jalan berhampiran Lanchang telah tidak dapat dilalui kerana "banjir". Tidak masuk akal sebuah lebuhraya yang dibina dengan menelan belanja berbilion ringgit boleh ditenggelami banjir hingga menyusahkan rakyat.
Apa yang pasti, sudah tentu yang akan mendapat imbuhan jutaan ringgit ialah syarikat kroni yang diberikan kontrak penyelengaraan dan pembaikan disepanjang lebuhraya terbabit. Sebaliknya rakyat akan menangung sengsara kerana terpaksa berhadapan dengan kesulitan melalui jalan yang kononnya "lebuhraya" itu. Sepatutnya, bila berlaku kerosakan sebegini "caj laluan" yang dikenakan juga perlu dikurangkan !!. Ini kerana pengguna terpaksa berhadapan dengan masalah terbabit dan ia menimbulkan keadaan yang tidak selesa, biarpun namanya lebuhraya. Jika begini keadaannya, maka lebih elok untuk pengguna melalui jalan biasa. Diharap, pihak berkaitan dapat memantau perkara ini dan tindakan drastik dengan kadar segera dapat diambil. Kerosakan yang sedia ada itu haruslah disiapkan sebelum minggu terakhir Ramadhan ini. Jika tidak sudah pasti masalah yang lebih besar akan berlaku.
[Kesimpulannya, beginilah nasib projek yang dibuat atas nama kemudahan dan pembangunan. Kos-kos ditambah sebaliknya bahan-bahan pembinaan dikurangkan. Ini semua adaalah untuk memberi ruang kepada puak-puak mereka mengaut keuntungan hasil kerja perbaikan yang akan dibolot nanti, justeru itulah kita tidak nampak LPT akan berkeadaan selesa seperti PLUS]






saya selalu guna lpt ni.tiap kali balik kg mesti ikut lpt, dah 5@6 tahun rasanya. tapi setiap kali balik mesti ada kerja2 pembaikan jalan. amende tu, tak pernah siap ke kerja kat situ.
BalasPadam