KUANTAN - Benarkah projek RM3,000 juta bagi menaik-taraf ‘kota keriangan’ Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, akan turut melibatkan pertambahan lagi 100 meja judi di sana? Ini selain daripada apa yang telah diuar-uarkan untuk membelanjakan kira-kira RM400 juta daripadanya, bagi pembinaan semula taman temanya, dengan usahasama syarikat perfileman Amerika Syarikat, 20th Century Fox. Jika menurut laporan berita dalam akhbar Star, keluaran hari ini, 31 Julai pada halaman 3 ruangan StarBiz, begitulah yang dibayangkan di bawah tajuk berbentuk soalan – ‘100 more tables for Genting?’. Laporan berita ini mengutip badan penyelidikan CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik-taraf resort bersepadunya itu (RWG). Jangkaan tambahan 100 meja judi oleh CIMB Research itu dikatakan berasaskan kepada 1,300 bilik hotel baharu yang bakal dibina dan disiapkan, di bawah pelaburan RM3,000 juta tersebut, menjelang tahun 2015. Malah, CIMB Research turut menyebut betapa jangkaannya itu masih dikira kecil atau ‘konservatif’. Genting Malaysia Bhd menurutnya, boleh sahaja menaikkan bilangan meja judinya kepada 300 buah jika RWG mahu sandarkan kepada amalan di negara-negara lain yang menetapkan bilangan meja judi kepada kadar tiga hingga lima bilik hotel kepada sebuah meja judi. Apapun bilangannya, dan jikalah benar laporan berita ini, sewajarnya Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa yang bakal dipohon untuk dapatkan lesen bagi pertambahan tersebut, menolaknya mentah-mentah. Kita mungkin boleh terima hasrat konglemerat itu untuk melabur ribuan juta ringgit bagi meningkatkan lagi taraf resort bersepadunya di sana termasuk kepada taman temanya, tetapi bukanlah dengan turut menambahkan prasarana perjudiannya.
Sungguhpun kita juga tahu betapa perolehan daripada sektor inilah penyumbang terbesar kepada seluruh operasi Resort World Genting (RWG) tetapi, ‘cukup-cukup’lah. Mohon bawalah ia ke negara-negara lain yang ia turut punya pelaburan di sana. Perlu diingat, ada sebuah lagi resort di sebuah lagi tanah tinggi yang sudah lama mengidam-idamkan untuk mendapat lesen bagi maksud yang sama, atas alasan kononnya ia tidak akan maju dan setanding RWG jika tidak turut memperolehi lesen berkenaan.
Sekiranyalah permohonan RWG ini dilayan, sudah pasti jadi sebab dan alasan kukuh bagi resort yang satu lagi ini untuk gerakkan usahanya semula yang sudah sekian lama terbantut, bagi memiliki lesen. #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan